MAKMAL KESIHATAN AWAM KEBANGSAAN
Sejarah Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan
Perkhidmatan makmal yang cekap memainkan peranan yang penting bagi menyokong program-program berkaitan kesihatan awam dengan memastikan pengesanan penyakit dengan tepat dan penyiasatan keracunan makanan yang lebih berkesan. Dengan pengesanan penyakit yang tepat dan cepat maka masyarakat dapat dilindungi dari jangkitan penyakit, keracunan makanan dan perkara-perkara lain yang boleh memudaratkan kesihatan.
Pada sekitar tahun 80-90an, fasiliti makmal lebih tertumpu kepada makmal-makmal hospital, klinik kesihatan, makmal universiti dan institut. Makmal hospital lebih berorientasikan klinikal untuk diagnos individu pesakit dalaman, manakala makmal klinik kesihatan hanya menyediakan ujian makmal pesakit luar yang sangat terhad. Perkhidmatan di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) lebih kepada penyelidikan manakala universiti memberi tumpuan kepada academia.
Cadangan penubuhan Makmal Kesihatan Awam adalah untuk menyokong program-program di bawah Jabatan Kesihatan Awam kerana prasarana sedia ada ketika itu tidak lagi dapat menampung semua program yang sedia ada. Cabaran kesihatan awam ketika itu adalah dengan kehadiran virus-virus baru dan juga ‘new emerging disease’ seperti TB yang memerlukan pemantauan dan pengawasan yang lebih sistematik.
Makmal Kesihatan Awam akan memberi perkhidmatan yang menitikberatkan pemantauan penyakit dan makanan melalui seroepidemiologi yang teratur serta penyelarasan aktiviti makmal. Hasrat KKM ketika itu adalah supaya MKA akan menjadi pusat rujukan bagi pengawasan dan pemantauan penyakit serta kawalan keselamatan makanan. Ia juga dirancang untuk menjadi pusat latihan dan pusat rujukan bagi makmal-makmal lain dari segi teknologi terkini dalam penganalisaan makanan dan pemantauan penyakit berjangkit.
Bagi memenuhi keperluan kesihatan awam dan hasrat KKM ketika itu, maka Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan, MKAK telah dirancang untuk dibina supaya dapat memberi perkhidmatan komprehensif menggunakan teknologi terkini serta canggih. Objektif asal dan utama pembinaan MKAK adalah dengan tujuan memberi perkhidmatan analitikal dan diagnostik kepada penyiasatan wabak, aktiviti survelan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit serta keselamatan makanan.
Penubuhan MKAK telah diusulkan di bawah RMK—6 (1990-1995) di mana pembinaannya telah dibiayai sepenuhnya oleh Bank Dunia. Pada Disember 1990, Bank Dunia telah melantik Parkin Consultant Limited dari Toronto, Kanada untuk memberi bantuan teknikal kepada Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menyediakan “Project Brief” bagi Makmal Kesihatan Awam. Pada tahun 1992, peruntukkan telah diberikan serentak kepada MKAK beserta dengan pembangunan dua lagi cawangan Makmal Kesihatan Awam (Johor dan Perak) dan juga pembangunan Pusat Darah Negara.
Pelaksanaan projek pembinaan bangunan MKAK telah dimulakan pada bulan Julai 1997 di bawah RMK 7 (1995-2000) di atas kawasan seluas 27.6 ekar dengan keluasan bangunan 6,865 meter persegi. Projek ini telah menelan belanja sebanyak RM 27.7 juta iaitu RM21.7 juta adalah untuk pembinaan bangunan dan RM6 juta untuk peralatan. Pembangunan makmal hanya dimulakan dengan Blok A ketika itu untuk menampung perkhidmatan yang asas untuk kawalan penyakit dan keselamatan makanan.
Pada September 1999, satu pasukan kerja teras telah ditubuhkan untuk merangka pelaksanaan perkhidmatan makmal. Pasukan ini telah diketuai oleh Dr. Fadzilah Binti Kamaludin dan dianggotai oleh beberapa ahli jawatankuasa yang terdiri daripada Pakar Patologi, Pakar Epidemiologi, Pegawai Teknologi Makanan, Pegawai Sains, Penolong Pegawai Teknologi Makanan dan Juruteknologi Makmal Perubatan beserta wakil daripada Bahagian Perancang dan Pembangunan, KKM. Ketika itu, aktiviti lebih tertumpu kepada persediaan untuk memulakan perkhidmatan seperti pembelian peralatan dan bahan ujian, latihan analisis, penyediaan dokumen dan rekod peralatan. Makmal juga turut membuat persediaan untuk akreditasi ISO/IEC 17025. Pada tahun 2000, aktiviti diteruskan dengan penambahan penswastaan perkhidmatan sokongan dan pengurusan kerosakan bangunan.
Perkhidmatan makmal yang ada ketika itu terbahagi kepada 4 seksyen:
1. Seksyen Pengurusan
2. Seksyen Penyakit
3. Seksyen Makanan
4. Seksyen Epidemiologi
Analisis yang ditawarkan adalah bakteriologi dan micobacterium bagi Seksyen Penyakit, manakala mikrobiologi dan kimia makanan bagi Seksyen Makanan.
Penyerahan bangunan MKAK (secara pengujian dan pentauliahan) telah dilaksanakan oleh pihak kontraktor dan Jabatan Kerja Raya, JKR kepada Kementerian Kesihatan Malaysia pada 30 November 1999. Penerimaan peralatan, pemasangan dan latihan penggunaannya dijalankan pada tahun 2000. Kemudiannya pada awal tahun 2001, Makmal Kesihatan Awam telah bersedia menawarkan perkhidmatan analisa makmal kepada pelanggan-pelanggan terlibat. Perasmian Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan pada 3 Julai 2003 telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Dr. Chua Jui Meng selaku Menteri Kesihatan Malaysia ketika itu.
Semasa MKAk sedang rancak dibangunkan, terjadi kejadian outbreak virus Nipah di Sungai Nipah, Negeri Sembilan pada tahun 1998. Virus ini telah menyerang ternakan babi dan berjangkit kepada penternak dan menyebabkan kematian. Virus ini adalah virus novel yang pertama kalinya dijumpai di dunia. Susulan dari penemuan virus ini, makmal dengan keperluan BSL 3 telah dirancang pembinaanya dan direalisasi dengan pembinaan Blok B di MKAK.
Ketika itu negara tiada fasiliti bagi pengujian virus Nipah dan cadangan pembinaan Blok B telah diusulkan dalam RMK- 8 (2001-2005). ‘Project Brief’ telah disediakan oleh team Mkak pada 10 Januari 2002 dan diluluskan untuk pembinaan pada 15 Mei 2002 dengan anggaran belanjawan sebanyak RM 5 juta.
Bermula dari 1999 sehingga sekarang, MKAK sentiasa berkembang dengan pesat untuk memenuhi keperluan kesihatan awam yang makin mencabar. Organisasi MKAK juga telah menjadi semakin besar dengan pertambahan perkhidmatan yang ditawarkan dan pertambahan anggota makmal yang bertugas. Perkhidmatan telah dinaiktaraf pada tahun 2003 dan nama seksyen telah ditukar kepada bahagian seperti di bawah dengan pertambahan bahagian Kualiti.
1. Bahagian Pengurusan
2. Bahagian Penyakit
3. Bahagian Makanan
4. Bahagian Epidemiologi
5. Bahagian Kualiti
MKAK juga telah diiktiraf sebagai Pusat Rujukan oleh World Health Organisation (WHO) dan juga Jawatankuasa Analisis Makanan (JKAM). MKAK juga berjaya mendapat akrediatasi ISO/IEC 17025 pada tahun 2003/2004, diikuti dengan MS/ISO 15189 dan MS/ISO 17043. Nama MKAK mula dikenali dan menjadi sebutan setelah menjadi makmal pertama yang mengenalpasti virus covid-19 menggunakan electron mikroskop. MKAK juga menjadi makmal utama untuk pengujian covid-19 semasa pandemik 2020-2022, seterusnya melonjakkan nama MKAK antara makmal cemerlang di bawah KKM.
Disediakan oleh : Wan Ainiza Wan Mustapha
Di bantu oleh : En. Thevaraj
KATA ALUAN PENGARAH
Assalamualaikum & Selamat Sejahtera.
Selamat datang ke Laman Web Rasmi Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK). Laman Web Rasmi MKAK diwujudkan sebagai satu platform saluran penyebaran maklumat dan informasi khususnya yang berkaitan dengan MKAK. Semoga Laman Web Rasmi MKAK ini dapat memudahkan urusan setiap pengunjung di mana ianya akan berfungsi sebagai satu medium penghubung yang efektif di antara pihak MKAK dan semua pengunjung Laman Web Rasmi MKAK ini. Akhir kata, saya berharap agar Laman Web Rasmi MKAK ini dapat berfungsi sebagai sumber maklumat yang diperlukan oleh semua pengunjung. Selamat melayari Laman Web Rasmi Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan.
Sekian, terima kasih.